Al kisah 1/3 malam




    Ada satu ketika, di malam hari di mana keadaan dunia berubah. Dunia yang mana kita sibuk di siang hari melayan kerenah kehidupan.  Tangunggjawab di tempat kerja, sekolah dan keluarga mendominasi perhatian kita sebagai seorang manusia.  Selain daripada waktu untuk mengerjakan solat lima waktu yang wajib itu, amat sukar bagi kita untuk membahagi masa untuk bersantai atau merehatkan diri seketika. 


    Namun, ada suatu ketika, apabila malam menjelma di mana kesibukan kerja terhenti, kebisingan jalan raya hilang dan hanya kesunyian yang menyelubungi diri.  Di waktu itu - sewaktu seluruh dunia nyenyak terlantar di ruang kamar - ada Satu yang tetap bangun. Utuh pendirian-Nya menunggu kita untuk menyeru-Nya. Kita dikhabarkan, di dalam hadith Qudsi: “Tuhan kami turun ke langit dunia setiap malam ketika tersisa sepertiga malam yang terakhir. Dia berfirman, 'Siapa yang berdoa kepada-Ku niscaya Aku menjawabnya. Siapa yang meminta kepada-Ku niscaya Aku memberinya dan siapa yang memohon ampun kepada-Ku niscaya Aku mengampuninya." (Bukhari dan Muslim)

   Kita hanya boleh berangan apa yang akan terjadi jika seorang raja datang ke rumah kita untuk memberikan kita tawaran dan harta serta apa saja yang kita mahukan.  Kita tahu semua orang yang waras akan mengunci jam loceng mereka untuk pertemuan sebegitu rupa.  Jika kita diberitahu bahawa satu jam sebelum waktu subuh, akan ada  $10,000,000 di hadapan pintu rumah kita, mampukah kita untuk menolak pemberian tersebut?

   Allah subhanahu wa ta`ala telah pun berfirman bahawa pada waktu malam hari (sepertiga malam), Dia akan datang kepada hamnba-hambaNya. Bayangkan! Tuhan sekalian alam datang menawarkan sesi temubual yang suci bersamaNya.  Tuhan itu menunggu kehadiran kita untuk bercakap dan berinteraksi dengan-Nya, namun ramai di kalangan kita mengabaikan Dia dek kerana enak dibuai mimpi.  Allah (swt) datang kepada kita dan tanya apa yang kita mahukan. Apa saja yang kita inginkan. Allahu Akbar!  Pencipta seluruh alam memberitahu kita bahawa Dia akan beri apa saja yang kita minta.

Namun, kita tetap pilih untuk tidur.

Akan tiba hari di mana semua kebenaran akan terserlah. Di dalam surah Al-Qaf, ayat 22, Sesungguhnya kamu dalam kelalaian daripada (hal) ini, maka Kami (Allah) singkapkan dari pada kamu tutupan, maka penglihatan kamu pada hari itu amat tajam. 


  Pada hari tersebut, kita akan nampak realiti yang sebenar.  Pada hari tersebut, kita akan sedar bahawa solat dua raka’at itu adalah lebih besar daripada seluruh isi dunia.  Kita akan sedar bahawa cek yang paling bernilai telah ditinggalkan di hadapan pintu kita setiap malam semasa sedang kita lena dibuai mimpi. Akan tiba hari dimana kita akan sangggup menyerahkan segala apa yang kita ada di atas muka bumi ini hanya untuk hidup semula dan menyempurnakan solat dua raka’at yang istimewa itu.   Akan tiba suatu masa di mana kita sanggup menyerahkan segala perkara yang kita cintai dan sayangi , segala apa yang memenuhi hati dan minda kita, segala fatamorgana yang kita kejar, demi Dia yang satu. Demi berinteraksi dengan Dia.  Namun pada hari tersebut, akan ada segolongan di antara kita yang akan dilupakan Allah.....sebagaimana mereka melupakan Allah sewaktu mereka hidup dahulu. 

Surah Taha, ayat 125 & 126, Dia berkata: “Rabbi ( wahai Tuhanku), mengapa Engkau (Allah) menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku (dahulunya) seorang yang melihat?”  Allah berfirman :

 “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami (Allah), maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan.”

Di dalam Surah al-Mu’minoon, Allah berfirman:

Janganlah kamu memekik (meminta tolong) pada hari ini. Sesungguhnya kamu tidak akan mendapat pertolongan daripada Kami (Allah).

    Sedarkah kita apa yang cuba disampaikan oleh ayat-ayat ini? Ini bukanlah situasi di mana kita dilupakan oleh kawan lama atau rakan sekelas.  Ini merupakan situasi dimana kita, diri kita yang hina ini dilupakan oleh Tuhan sekalian alam. Bukan hukuman neraka. Bukan hukuman air mendidih.  Bukan hukuma kulit disiat-siat.  Tiada hukuman yang lebih berat selain dilupakan oleh Allah.

   Malah, memandangkan hukuman ini adalah hukuman yang paling berat, tiada ganjaran yang lebih besar untuk hamba-hamba yang soleh melainkan apa yang disebut oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis berikut,

Dari Shuhaib r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda, “ Apabila penduduk syurga telah masuk ke dalam syurga.” Nabi berkata, “Maka Allah tabaraka wa ta’ala berfirman, ‘ Apakah kalian menginginkan sesuatu tambahan dari-Ku?’. Mereka menjawab, ‘Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari neraka?’.” Nabi berkata, “Maka Allah pun menyingkap hijab – yang menutupi wajahnya-Nya-. Dan tidaklah ada kenikmatan yang diberikan kepada mereka yang lebih mereka sukai daripada memandang Rabb mereka ‘azza wa jalla.” (HR. Muslim)

    Namun, kita tidak seharusnya menunggu sehingga Hari itu sendiri untuk mengetahui keputusan mengenai perjumpaan kita di malam hari bersamaNya.  Sebenarnya, tiada perkataan yang dapat menggambarkan ketenangan dan kenikmatan yang dirasai dalam hidup ini hasil daripada pertemuan dan perbualan denganNya.  Hanya orang yang pernah mengalamiNya akan merasai nikmat tersebut.  Kesannya terhadap hidup seseorang itu tidak dapat diukur dengan kata-kata.  Bila kita merasai qiyam, solat pada sepertiga malam, seluruh hidup kita akan berubah..

    Tiba-tiba, segala beban yang berat ditanggung menjadi ringan dengan serta-merta. Masalah yang tidak pernah dapat diselesaikan menjadi selesai. Dan dekatnya kita dengan pencipta kita, yang dahulunya mustahil, sekarang menjadi talian hidup yang utama bagi diri kita. 

Exco Kerohanian PPMC

Inspired by:
Yasmin Mogahed ( A sacred Conversation)