Drama Pelajar Perubatan

OLEH NORAIN ISHAK

Masih segar lagi di ingatan hari pertama menjejakkan kaki di lapangan terbang Cork pada 12 September 2011, disambut mesra oleh exco-exco Persatuan Pelajar Malaysia Cork (PPMC) dan seterusnya diiringi ke Victoria Lodge untuk sesi taklimat ringkas. Setelah selesai makan tengah hari, seorang senior tahun ketiga yang kini sudah pun bergelar Dr Syahirah Adnin membawa saya dan 3 orang lagi rakan, Latifah, Farahin dan Nasrah ke tempat kediaman kami di Castlewhite Apartment.

Apartment saya dan Latifah berada di tingkat tiga. Masih terasa lagi perasaan semasa mengangkat bagasi berat naik ke tingkat tiga, “Ya Allah, aku nak duduk kat Ireland ni selama 5 tahun, mampu ke aku nak menanggung rasa rindu dekat keluarga ni, mampu ke nak habiskan belajar medik yang orang kata mencabar ni?” soal saya dalam hati sendiri. Mampu atau tidak, perlu juga lah berjauhan dengan keluarga, perlu juga belajar medik sebab itulah yang saya nak sangat pada masa buat A-level di KYUEM dulu, “nak belajar medik kat Ireland kan”, jadi bolos saja dinding itu.

***
Sepanjang 5 tahun tinggal di Ireland dan cuma pulang ke Malaysia sekali setahun pada cuti musim panas, banyak perkara yang telah saya belajar (selain ilmu perubatan) yang ingin saya kongsikan dengan pembaca yang dikasihi.

Erti Pengorbanan
Perjuangan menuntut ilmu perubatan, beribu batu dari keluarga tercinta di tanah air bagi saya adalah sebuah pengorbanan yang besar. Jadi bila belajar, kena belajar sungguh-sungguh agar pengorbanan itu menjadi pengorbanan yang berharga. Dah nama pun pengorbanan, ianya bukanlah perkara yang mudah. Perlu menahan rasa rindu, menghadap penyakit homesick yang menyerang terutamanya pada musim-musim hampir dengan peperiksaan. Ada masanya bila jiwa sentimental menjengah tiba, ada juga yang menangis di bawah duvet sebelum tidur malam.
Cemburu juga dengan rakan-rakan yang belajar dalam negara, paling kurang boleh bertemu sebulan sekali dengan keluarga. Bagi kebanyakan kami pula, nak kena tunggu sembilan bulan setiap tahun, nak kena tunggu bulan Jun baru lah dapat pulang untuk meluangkan cuti musim panas dengan keluarga. Selepas itu, pulang semula ke Cork dan kena tunggu lagi sembilan bulan lagi, dan begitulah kitarannya selama hampir 5 tahun.
Namun begitu, syukur dengan teknologi yang ada, adanya Skype, Facebook dan Whatsapp, yang jauh dapat didekatkan. Terubat juga rasa rindu dengan keluarga di bumi Malaysia.

Erti Ohana
Pertama kali dengar perkataan Ohana ialah semasa sesi Ohana di dalam minggu orientasi bersama PPMC. Pertama kali lah dengar sebab tak menonton pula cerita Lilo & Stitch.
“Ohana means family. Family means no one gets left behind” – Lilo & Stitch
Ohana bermaksud keluarga. Nama lain bagi usrah kendalian PPMC juga dikenali sebagai Ohana. Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah bila kita berjauhan dengan keluarga, rakan-rakan kita di sini lah keluarga kita. Kita tengok-tengok kan ahli keluarga kita, ahli keluarga tengok-tengok kan kita. Saling menjaga antara satu sama lain. Saling tolong-menolong antara satu sama lain. Saling ‘support’ antara satu sama lain. Saling mendoakan kesejahteraan antara satu sama lain.
Erti keluarga itu tak semestinya perlu ada pertalian darah, tetapi apa yang lebih penting ialah apabila kita ikhlas menyayangi antara satu sama lain antara sahabat-sahabat kita. Sesungguhnya, tak dapat saya bayangkan kehidupan saya di Cork tanpa rakan-rakan khususnya rakan-rakan serumah, jiran-jiran tetangga yang Malaysian di Wilton Court dan rakan-rakan satu group. Mesti hambar. Tetapi dengan adanya kawan-kawan, kehidupan lebih berwarna-warni. Jadi, bagi adik-adik junior yang masih meneruskan pengajian di bumi shamrock ini, hargailah teman-teman disekeliling kita.

Erti Keazaman
Setiap kursus pembelajaran ada cabarannya yang tersendiri. Begitu juga dengan bidang perubatan. Dengan ‘study load’ yang banyak, kuliahnya, tutorialnya, hospitalnya, kliniknya, memang tak dinafikan, banyak bebanannya sebagai seorang pelajar perubatan. Bak kata orang putih, “mentally, physically and emotionally drained”. Jadi, apa saja kekuatan yang tinggal untuk teruskan kehidupan seharian sebagai pelajar perubatan? Pergantungan kepada Allah.
‘Hasbunallahu wa ni’ mal wakil – cukup lah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung’
Walaupun bergelar ‘warden’ dalam kalangan kenalan terdekat saya di bumi Cork ini, ada masanya rasa malas itu memang ada. Tetapi, jangan dilayan rasa malas terlalu lama, kena bangkit dan kuatkan keazaman dan kembali fokus dengan misi dan visi.
Sepanjang tahun akhir pengajian, quote pilihan saya berbunyi “Rise up and attack the day with ENTHUSIASM!!”. Bila baca quote ini, rasa bersemangat dengan perasaan nak “attack the day” ataupun perasaan nak ‘membunuh kemalasan’ dan pada masa yang sama, pasakkan dalam hati, berdoa moga-moga Allah beri kekuatan untuk menjalani hari tersebut dengan baik.

***
Andainya kalau ada yang bertanya, tips PALING PENTING sepanjang jadi pelajar perubatan, bagi hemat saya, tak lain tak bukan ialah SABAR. Apa jua yang menimpa sepanjang perjalanan yang penuh liku, sabar dulu. Sabar dan carilah jalan penyelesaian. Rasa tak cukup masa, rancang masa. Rasa tak faham sesuatu, bertanya kepada yang tahu. Rasa tertekan, cari Tuhan.

Pejam celik pejam celik, 5 tahun pun berlalu. Saat saya ‘check’ keputusan peperiksaan secara online, tidak tergambar rasanya perasaan dalam hati. Gembira, sedih, terharu. Sujud syukur kepada Allah. Merenung kembali 5 tahun belajar medik yang penuh dengan suka dan duka dan stress-sepanjang-sesi-akademik, akhirnya berjaya juga menamatkan pengajian perubatan dengan jayanya dengan pertolongan dari Allah dan juga berkat doa ibu bapa, keluarga dan sahabat-sahabat semua.

Hari yang ditunggu-tunggu pun menjelma jua, 27 Mei 2016, saya dan rakan-rakan dikurniakan rezeki dari Allah  dengan Honours Degree of Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery and Bachelor of Obstetrics dari University College Cork – National University of Ireland. Itulah episod akhir saya dalam ‘drama’ sebagai seorang pelajar perubatan. Peluang dapat bergraduasi ini bukanlah penamat kepada proses menuntut ilmu perubatan, tetapi membuka ruang yang lebih besar untuk menuntut ilmu dengan lebih lagi apabila masuk ke dalam alam kerjaya housemanship kelak.

Akhir kalam, di mana jua langkah kita jejak, apa jua bidang yang kita ceburi, ingatlah akan doa, usaha dan tawakal kepada Allah, semoga dipermudahkan segalanya oleh Dia, yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Wassalam.