Teguran kepada Utusan Malaysia



Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh

“Pemikiran seseorang individu dibentuk melalui pembacaan yang dilakukan.  Justeru, boleh disimpulkan bahawa bahan bacaan merupakan salah satu penyumbang terbesar  dalam usaha mendidik kematangan pemikiran rakyat secara keseluruhannya.”

   Dengan segala hormatnya, kami, mewakili mahasiswa-mahasiswa yang berada di bawah payung Persatuan Pelajar Malaysia Cork, Ireland ingin melahirkan rasa kesal kami di atas penerbitan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 2 Mei 2012 disebabkan olehkehadiran unsur - unsur pornografi di muka utama akhbar tersebut.

   Selaku salah sebuah syarikat media cetak utama yang terkemuka dan berpengalaman di Malaysia, penghasilan kualiti akhbar yang demikian amatlah mengejutkan. Terbitan akhbar pada 2 Mei 2012 tersebut menyebabkan kami rasa terpanggil untuk menyampaikan teguran dan ternyata persepsi kami terhadap Utusan Melayu mula berubah. Di muka hadapan akhbar terbitan 2 Mei 2012, jelas terpapar kerendahan nilai-nilai moral yang tidak sepatutnya disajikan untuk para pembaca yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat.

  Di manakah hilangnya sikap professional syarikat akhbar yang telah beroperasi lebih daripada setengah abad ini? Jika perkara ini boleh dianggap remeh dan hanya diambil sambil lewa, bagaimanakah agaknya nasib generasi-generasi muda yang akan datang?  Sedari kecil sudah ditayangkan dan dihidangkan dengan pendidikan ‘seks percuma’ melalui penerbitan gambar-gambar yang tidak ada relevannya untuk ditonjolkan di dalam sebuah akhbar umum seperti Utusan Malysia. Bagaimanakah reaksi dan kesannya kepada para pelajar di sekolah-sekolah yang  melanggan akhbar Utusan Malaysia ini ? Kami yakin, perkara ini akan mempengaruhi pemikiran anak-anak muda; seterusnya memberi  yangimpak negatif kepada pembinaan moral diri mereka. 

   Malah, disebabkan oleh tindakan media cetak utama negara yang telah memaparkan gambar berunsur lucah sebegini, mereka akan mula menyangka bahawa perkara ‘sensitif’ seperti pornografi dan seks ini adalah suatu perkara yang ‘biasa’ dan tiada salahnya jika gambar-gambar atau bahan-bahan yang berkaitan dengannya dipaparkan secara terang-terangan tanpa ada had batasan yang sewajarnya.

   Persoalannya di sini,mengapa perlunya gambar-gambar yang berunsur pronografi tersebut dipaparkan? Bahkan, menyiarkan gambar lucah itu sendiri melanggar etika media. Suatu berita itu cukup hanya disampaikan melalui tajuk serta penulisan yang baik beserta bukti yang mantap.  Jika gaya penulisan sesebuah artikel tersebut berdasarkan fakta dan hujah yang kukuh, sudah tentu ia cukup untuk meyakinkan para pembaca.  Gambar-gambar atau ‘bukti-bukti’ sdemikian tidak sewajarnya dipaparkan kepada pembaca; cukuplahianya diteliti oleh para hakim atau peguam yang akan mengadilil masalah tersebut.

   Justeru, kami, selaku mahasiswa yang berada jauh di perantauan ini ingin memohon agar pihak akhbar Utusan Malaysia dapat menilai semula tindakan menerbitkan gambar-gambar berunsur pornografi untuk tatapan umum ini agar kualiti percetakan di tanah air dapat ditingkatkan di masa hadapan.  Walaupun tanah air Malaysia tercinta jauh di mata, namun ia tetap dekat di hati.  Sesungguhnya, teguran ini disampaikan adalah kerana wujudnya rasa cinta akan negara serta rasa tanggungjawab untuk memimpin negara pada masa akan datang dalam diri kami. 

    Amatlah memalukan sekiranya negara-negara jiran serta rakyat luar negara mula menganggap bahawa media percetakan di Malaysiasebagai bahan cetakan yang tidak pernah lekang daripada unsur-unsur pornografi murahan sedangkan majoriti rakyatnya adalah penduduk islam dan bukan islam yang memiliki nilai-nilai moral yg tinggi.

    Sebaliknya, Utusan Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk terus berkembang giat di dalam medan percetakan umum tanah air dan menjadi wadah utama dalam mendidik minda rakyat.  Rakyat sudah semakin matang, maka kami mengharapkan agar berita-berita yang diterbitkan juga selari dengan kematangan intelektual rakyat.

Wallahu’alam.

Persatuan Pelajar Malaysia Cork 2011/2012,
Ireland.