Spiritual Exco Monthly Article: "Deraan Psikologi Ahli Neraka"



















Seksaan di neraka tidak terhad kepada fizikal sahaja, malahan psikologi ahli neraka turut didera.


Kita masih berbincang tentang keadaan ahli neraka di neraka. Sebelum ini, saya telah menjelaskan secara panjang lebar berkenaan pelbagai seksaan fizikal yang akan mereka alami di tempat tersebut.

Kali ini, saya hendak menunjukkan bahawa seksaan tersebut bukan hanya fizikal sahaja, namun kesakitan itu juga menyentuh aspek psikologi mereka. Itulah “al-Hutamah”, api yang membakar sampai ke hati. (Surah Al-Humazah 104:5-9)

Seorang banduan yang ditempatkan di tempat seksaan bukan hanya merasakan deraan fizikal, malah turut mengalami seksaan mental. Sering kali orang yang berada di tempat seperti ini dalam jangka masa yang lama akan menderita penyakit jiwa seperti gila, stress, kemurungan dan sebagainya.

Apa yang dialami oleh ahli neraka tentu jauh lebih berat. Neraka begitu gelap, panas dan penuh dengan pelbagai siksaan yang sangat pedih. Sudah tentu mereka merasakan seksaan mental yang sangat berat.

Apabila membaca ayat-ayat Al-Quran, saya benar-benar melihat pelbagai isyarat yang menunjukkan adanya deraan psikologi itu di neraka. Sebahagiannya cuba saya bincangkan di bawah ini secara ringkas untuk renungan kita bersama.

Penyesalan

Penyesalan adalah  satu deraan mental yang sungguh berat untuk ditanggung. Perasaan ini cukup mengeruhkan hidup seseorang meskipun ia dikelilingi pelbagai kenikmatan, apalagi jika ia berada dalam api yang sangat membakar.

 Pada hari kiamat nanti, ahli neraka akan berasa sangat menyesal kerana tersilap memilih jalan hidup.Mereka berasa tertipu dengan dunia, nafsu, syaitan dan rakan-rakan yang telah memesongkan mereka dari jalan Allah, malah tidak dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah di akhirat.

Pada saat itu, ahli neraka rasa sangat menyesal. Mereka membayangkan, seandainya mereka boleh dikembalikan ke dunia, mereka pasti mengubah pilihan hidupnya dan membuat pilihan yang betul! Tetapi itu semua hanya tinggal angan-angan belaka. Ia tidak akan menjadi kenyataan selama-lamanya. Mana mungkin masa diputarkan kembali.

 Allah berfirman yang bermaksud : "Pada saat itu,orang yang diikuti akan berlepas diri dari orang yang mengikutinya. Mereka melihat siksaan, dan segala hubungan antara mereka terputus sama sekali"

“Berkatalah orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali ( ke dunia ) pasti kami akan  berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami'. Demikianlah Allah memperlihatkan amal perbuatan mereka agar menjadi sesalan dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka." (Surah Al-Baqarah 2: 166-167).

Ditertawakan Tanpa Simpati

Untuk ahli neraka yang suka mempersendakan dan memtertawakan hamba-hamba Allah di dunia, meraka akan ditertawakan di akhirat kelak. Ini suatu bentuk seksaan batin yang tidak kalah beratnya dengan pelbagai siksaan yang lain.

   Allah berfirman yang bermaksud  : "Sesungguhnya orang yang berdosa,mereka sering mentertawakan orang yang beriman. Dan apabila orang beriman lalu dihadapan mereka, mereka saling mengerdipkan mata. Dan Apabila kembali ke kaumnya,mereka kembali dengan gembiranya.Setiap kali melihat orang mukmin, mereka mengatakan 'Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang yang sesat’’ Padahal mereka tidak diutus untuk menilai orang mukmin. Maka pada hari ini, orang beriman mentertawakan orang kafir.Mereka (duduk) dipan-dipan sambil memandang 'Apakah orang kafir itu telah diberi ganjaran terhadap apa yang dikerjakan mereka dulu? (Surah Al-Mutaffifin 83: 29-36)

Ayat-ayat ini menjadi penghibur bagi orang yang teguh berpegang kepada hukum Allah di tengah pandangan sinis dan hinaan orang yang membencinya, sama ada daripada orang kafir ataupun pihak munafikin yang mengaku beragama Islam.

Biarkan mereka tertawa untuk sementara waktu di dunia. Di akhirat nanti, kita akan tertawa melihat mereka menanggung seksaan yang sangat hebat. Dan orang yang terakhir tertawa, ia akan tertawa lebih panjang.

Allah Enggan Mendengar

Antara seksaan batin yang paling berat adalah putus asa. Yakni, apabila harapan untuk keluar daripada keadaan buruk ini tertutup sama sekali, langsung tiada peluang. Mereka mengeluh kepada Allah, namun keluhan itu dibalas dengan herdikan yang sangat kasar.

Dalam surah al-Mukminun diceritakan keadaan tersebut. Ahli neraka berkata : “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka (dan kembalikanlah kami ke dunia). Jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang yang zalim. Allah berfirman, “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kamu berbicara dengan Aku lagi.” (Surah al-Mu’minun 23 : 107-108)

Ucapan Allah ini begitu kasar kepada mereka, seperti seseorang yang sedang mengherdik anjing untuk menjauhkan haiwan ini daripadanya. Seolah-olah selepas kejadian ini, Allah tidak lagi berkenan berbicara dengan ahli neraka selama-lamanya.

Imam Fakhrurrazi berkata : “Ini adalah kata-kata terakhir yang dapat diucapkan oleh mereka. Selepas itu, tidak ada lagi kata-kata selain pekikan dan lolongan seperti lolongan anjing.”

Seksaan Batin di Dunia, Sebelum di Akhirat

Beberapa seksaan batin ini sebenarnya pernah mereka rasakan di dunia sebagai akibat gaya hidup mereka yang jauh daripada aturan Ilahi. Secara zahirnya, mereka memang menikmati pelbagai kesenangan duniawi, tetapi sebenarnya mereka sedang mengalami seksaan hebat dalam batinnya.

Mari kita renungi firman Allah S.W.T apabila menjelaskan hakikat kesenangan hidup yang dimiliki orang kafir dan munafik di dunia, mafhumnya : “Maka janganlah engkau mengagumi harta benda dan anak mereka. Sesungguhnya Allah hendak menyeksa mereka dengan (harta dan anak-anak ini) di dunia dan kelak nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan kafir.” (Surah al-Taubah 9:55)

Kita sering menyangka bahawa kebahagiaan yang dirasai oleh orang yang memiliki isteri yang cantik, rumah besar, jawatan tinggi, gaji yang banyak, kenderaan mewah, anak-anak yang sihat dan pelbagai kemudahan hidup yang lain.

Ayat ini menyangkal tanggapan tersebut. Sering kali Allah memberikan semua ini kepada seseorang hanya untuk menyeksa mereka di dunia, sebelum menerima seksaan yang lagi dahsyat di akhirat.

Semakin banyak kekayaan yang diberikan, semakin banyak seksaan batik yang mereka rasakan. Mereka hidup dalam ketakutan, cemas, hina diperbudakkan oleh hawa nafsu dan stress mengejar sesuatu yang tidak ada akhirnya. Itu belum lagi termasuk anak-anak yang sering menyeksa dengan pelbagai permintaan dan akhlaknya yang buruk.

Kedamaian untuk Orang yang Menuruti Hukum Allah

Adapun orang yang hidup bersama-sama hukum Allah, maka ia akan sentiasa hidup dalam kedamaian. Harta dan kedudukan duniawi tidak pernah menyedihkan hatinya kerana mereka hidup berdasarkan kehendak Allah S.W.T

Apa yang ditakdirkan diterima dengan penuh reda dan ikhlas. Mereka telah berada di dalam syurga sebelum meninggalkan dunia ini.

Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurga dan menyelamatkan kita daripada kondisi ahli neraka. Amin ya Rabbal ‘Alamin...

(Sumber : Majalah SOLUSI edisi 32)