Hari
itu, cahaya menerangi Mekah luar biasa. Keheningannya, udaranya, ketenangannya
meresap masuk ke setiap sel tubuh manusia. Abu Lahab gembira tak terkata.
Semahunya dikhabarkan pada dunia, hari ini terlahirnya insan luar biasa satu
anugerah pada dunia dan seiisinya.
Ya,
semahunya berlari mahu bergegak gempita, bercerita pada dunia!
Tapi
segalanya itu sia-sia. Tatkala seruan membawa peringatan tentang siksaan yang
pedih datang, Si Abu Lahab seakan-akan tidak pernah mengenal siapa itu anak
saudaranya. Tindakannya bagai dirasuk. Si durjana itu melontarkan kata
‘celaka!’ Maka siapakah yang lebih dihinakan bila dicelakakan oleh Allah yang
Esa.. ‘Tabbat yadaa abi lahabiwwatab – binasalah kedua tangan Abu lahab.
Sesungguhnya dia akan binasa!’ [111:1]
Apa
yang ditakutkan? Mengapa mendustakan? Bukankah dahulunya kelahiran anak
saudaranya itu satu kurniaan besar yang diraikan? Bukankah baginda rasul itu
Al-Amin, tidak dapat dinafikan?
Ketakutan
dan penafian itu terlahir daripada rasa tak mahu melepaskan dunia. Keselesaan dunia,
perihal harta, keluarga dan perusahaannya terlalu kuat mengikat diri, lantas
mengapa pula kau serukan itu peringatan tentang siksaan yang pedih..?! [9:24]
Hari
ini, kita juga tak kurang gembiranya memperingati 12 Rabiul Awwal saban tahun
sempena lahirnya baginda Rasulullah s.a.w. Tetapi, jika seruan dan ajaran
Rasulullah yang tercinta kita abaikan, akhlak baginda tak dijadikan teladan,
jalan dakwah tidak sanggup
diperjuangkan,…oleh kerana keterikatan pada dunia, keinginan dan nafsu
yang menguasai dilebihkan, maka kita persis Si Abu Lahab moden. Bahkan
barangkali lebih dari itu. Naudzubillahi
min dzalik. Kerana kita sudah bersaksi-dengan kesaksian yang paling besar.
Kerana kita juga barangkali berpuluh kali sudah khatam membaca kitabNya.
Lantas,
kembali tanyalah hati setulusnya ‘benarkah
aku ini sungguh cinta pada Rasulullah? ’
Kecintaan
Abu Bakar buktinya bukan sahaja setakat fizikalnya menjadikan pahanya sebagai
bantal Rasulullah, tetapi tatkala seruan infak diserukan, segalanya
dikorbankan. Ya, segalanya. Hingga tiada yang tersisa- melainkan segalanya
diserahkan pada Allah dan Rasulnya.
Kecintaan
Zaid B. Datsima bukan setakat tak sanggup menggantikan diri dan nyawanya dengan
Rasulullah kemudian kembali ke pangkuan keluarga tercinta sahaja, bahkan tidak
akan redha sekalipun satu duri menyakiti rasulullah.
Kecintaan
sahabat dahulu.. kecintaan sahabat dahulu.. .jika dituliskan semuanya sungguh
terlalu malu untuk dibandingkan. Kerana amal bukti cinta kita banyak lebihnya
pada slogan, pada lagu, pada tulisan, pada ucapan.. Hari ini, sungguh sedikit
bukti cintakan rasul pada amal seorang pemuda yang hatinya terukir ajaran
Al-Quran.. mahukah kita menjadi salah
satu daripadanya?
Sesungguhnya
cinta rasul itu buah iman. Jika yang lompong itu gambaran bukti cinta, yang
seharusnya kembali diperbaiki adalah iman. Bangkitkan dan suburkanlah kembali
iman. Agar nanti cinta pada rasul itu terlahir dalam amal. Bukan sekadar
amal-amal ikutan, bermusim mahupun kala untung diingatkan!
Khalilah Huda Kamilen
Exco Kerohanian
Exco Kerohanian