“Dari kerana mata, yang mempunyai kuasa. Oh aku tergoda, aku tergoda terkecewa,”
Demikian petikan lirik yang saya ambil dari lagu klasik nyanyian R Azmi berjudul Dari Kerana Mata. Mata mempunyai kuasa. Mata juga mampu membuat pemiliknya kecewa. Ya, hari ini mari kita berbicara mengenai mata.
Sama ada kita memakai kanta lekap, mahupun kaca mata ataupun tidak memerlukan sebarang alat bantu untuk melihat, sama-sama lah kita mengambil sesaat dua ini untuk mensyukuri nikmat pemberian sepasang mata yang dianugerahkan oleh Allah. Tanpa nikmat melihat, mana mungkin saya mampu menaip artikel ini dan mana mungkin anda dapat membacanya pula. Dalam hal ini lah, kita dapat melihat bagaimana nikmat dapat melihat ini adalah suatu nikmat yang sangat berharga dan perlu digunakan sebaiknya.
Apakah pernah sekali terlintas di fikiran kita, andainya suatu hari nanti, Allah mengambil kembali nikmat dapat melihat menggunakan mata kita ini? Mengapa saya ajukan persoalan ini, kerana kita selalu lupa untuk menghargai nikmat kurniaan Allah. Ataupun dalam bahasa Inggeris, kita selalu katakan “take things for granted”.
“Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (Surah As-Sajadah ayat 9)
Kita merasakan dengan nikmat mata yang sihat ini, kita bebas untuk menggunakan untuk apa sahaja dan lupa bahawa di akhirat kelak, kita bakal dipertanggungjawabkan akan nikmat yang dikurniakan Allah. Jadi berwaspadalah apa yang kita lihat setiap hari, renungkanlah di dalam jiwa kita, apakah kita menggunakan nikmat melihat ini untuk perkara yang memberi manfaat?
Kembali kepada petikan lirik di atas, dan bukan niat saya untuk mempopularkan lagu ini cuma sebagai satu contoh mudah. Kita dapat meneliti bahawa dengan mata membuatkan seseorang tergoda. Sebagai contoh, ketika bulan Ramadhan, sudah pasti ada yang akan ke Bazaar Ramadhan yang berhampiran. Puasa itu bertujuan untuk mendidik nafsu, namun kadangkala, mata kita seringkali mengkhianati niat kita bila mana kita melihat makanan seperti murtabak, ayam percik,
kuih pelita, roti John dan lain-lain yang semuanya kelihatan sedap di mata kita. Begitu juga dengan air kelapa, air cendol, air khatira….
Di sinilah kita dapat melihat bagaimana dengan informasi yang kita peroleh melalui mata, membuatkan kita tewas dalam usaha mendidik nafsu dengan berbelanja boros membeli makanan-makanan tersebut kerana nafsu telahpun tergoda!
Sekarang, bagaimana pula dengan melihat kepada orang lain atau dalam terma lebih acapkali digunakan ialah “usha” orang? Konsepnya masih sama. Lebih-lebih lagi kalau melihat orang yang berbeza jantina dengan kita, kerana bagaimana dari mata jatuh ke hati dan seterusnya membawa kepada angan-angan yang akan diketawakan syaitan kerana berjaya membuatkan kita lalai dalam keindahan yang tidak realiti.
Itu adalah mata fizikal, bagaimana pula dengan mata hati?
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj ayat 46, “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada,”.
Buta mata hati adalah suatu kondisi lebih berbahaya. Ia membuatkan kita gagal untuk melihat ataupun buta menerima cahaya petunjuk dari Allah. Buta mata hati juga membuatkan kita gagal untuk membezakan apakah yang baik dan apakah yang buruk untuk kita untuk dunia dan akhirat. Mata hati yang mampu melihat sudah pasti dapat menganalisa sesebuah perkara sebelum melakukan sesuatu keputusan. Mata hati yang mampu melihat akan cuba mencari hikmah dan ibrah dari setiap perkara yang terjadi.
Pentingnya kita menilai semula status mata hati kita kerana ia menentukan cara kita berfikir. Sebagai contoh, ada seorang pelajar perubatan bernama Darwisy. Dia mahu menjadi seorang doktor yang berdedikasi, yang bukan sahaja untuk merawat fizikal pesakit, tetapi juga rohani pesakit. Dalam kata erti lain, Darwisy ingin menjadi seorang doktor untuk membawa ummah kembali dekat kepada Allah. Darwisy juga merupakan seorang yang suka membaca “research journals” bagi memupuk semangat untuk melakukan sesuatu kajian yang dapat memberi manfaat kepada seluruh umat manusia. Selain mementingkan ilmu duniawi, Darwisy juga mengambil berat dan berusaha dalam menambahkan ilmu akhirat untuk menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah.
Itu adalah Darwisy. Dan semua orang ada cara yang tersendiri untuk membantu ummah. Andainya mata hati kita dapat melihat kepentingan akhirat, maka setiap perbuatan dan pekerjaan yang kita lakukan akan berlandaskan dasar Islam dan tidak melanggar perintah Allah serta diniatkan ikhlas kerana Allah semata-mata. Tetapi sekiranya mata hati kita gagal melihat akhirat, maka lahirlah insan-insan yang bekerja 24 jam siang malam, ataupun study 24 jam siang malam tetapi mengabaikan hubungan dengan Allah s.w.t. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini kerana bila jauhnya kita dengan Allah, maka Allah akan membuatkan kita lupa kepada Dia.
Firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 19, “Dan janganlah keadaan kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah; lalu Allah pun membuatnya lupa kepada dirinya sendiri."
Ibnu Qayyim menulis tentang tafsir ayat ini dalam kitabnya "Darus Sa`adah" (Negeri Bahagia);
"Perhatikan ayat ini, nescaya akan engkau dapati di dalamnya erti yang sangat mulia dan dalam. Iaitu bahwa barangsiapa yang lupa kepada Tuhannya, Tuhan akan membuatnya lupa kepada dirinya sendiri, sehingga dia tidak mengenal lagi siapa sebenamya dirinya dan apa yang perlu untuk kebahagiaan dirinya. Bahkan dia pun akan dibuat lupa apa jalan hidup yang akan ditempuhnya untuk kebahagiaan dirinya sendiri baik untuk kehidupan dunia sekarang atau kehidupan akhirat kelak, sehingga dia hidup dalam kekosongan dan hampa, sama saja dengan binatang ternak.”
“Bahkan kadang-kadang binatang ternak itu lebih tahu apa yang baik untuk memelihara hidupnya dengan petunjuk naluri yang dianugerahkan Tuhan kepadanya. Tetapi manusia yang telah lupa diri ini, dia telah keluar dari garis fitrahnya, yang dengan itu dia diciptakan. Dia telah lupa kepada Tuhannya, maka dia dibuat lupa oleh Tuhan kepada dirinya sendiri sehingga dia tidak ingat lagi bagaimana supaya diri itu mencapai kesempumaan dan bagaimana agar dia bersih, bagaimana supaya dia mencapai bahagia kini dan esok.”
Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama merenungi sejauh mana kah kita menggunakan nikmat penglihatan yang dikurniakan Allah kepada perkara-perkara yang baik dan juga bermuhasabah akan mata hati kita sendiri. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu akan salahguna nikmat penglihatan yang diberi serta dibukakan hati agar dapat terus mendapat cahaya petunjuk Ilahi, insyaAllah.
Norain Ishak