Musim sejuk bakal berakhir. Deru angin sejuk yang aku benci bakal berhenti (aku harap begitulah, sebagaimana semua Irish di sini juga mengharap untuk perkara yang sama).
Tiada lagi daun kering, pucat tidak bermaya.
Tiada lagi awan mendung kelabu berarak setiap masa.
Lesu musim dingin bakal bertemu titik noktah buat tahun ini.
Apa yang bakal menjelang?
Musim bunga. Musim di mana matahari kembali menjenguk selepas sekian lama meluangkan masa di
kamar. Kali ini, sinarnya akan menerpa seluruh bumi Eropah.
Ya, aku sangat menantikan musim ini.
Penantian dan Mimpi
Di luar jendela aku melemparkan pandangan. Bukan aku sahaja, bisik kecil hatiku.
Pokok pine di luar juga menantikan kesegaran dan kehangatan musim bunga.
Bukan pokok pine sahaja.
Bahkan pokok-pokok bunga turut sama menantikan kedatangan musim ini, agar mereka dapat menari dengan pelbagai gemilauan warna.
Betapa sebenarnya musim sejuk yang berlalu itu umpama mimpi. Seolah seperti tidak pernah berlaku.
Ya benar. Apakah aku bermimpi sebenarnya sepanjang 3 bulan yang lalu?
Bunga yang layu kembali berkuntum. Menarik pandangan dengan warnanya yang mengasyikkan.
Cambah tunas-tunas muda dari tanah-tanah empuk.
Selain itu, ranting kering turut sama menerima kehadiran pucuk dedaunan yang baru.
Silih berganti musim yang berlalu, menimbulkan rasa ingin tahu.
Agak-agak, kalau aku sebuah pokok, apakah usia aku kini?
“Sayangnya kau bukan pokok. Kau manusia. Tidak sama pokok dan manusia “, jawab Piko dengan selamba.
Sahabatku Piko. Teman berbual dan teman sepak terajang. Indah dan susah, kami bersama.
Pernah aku aju pada Piko, lebih baik dunia ini hanya ada 3 musim. Biar Musim Sejuk disisihkan. Sebagaimana Sang Kucing disisih dari Zodiak Cina. Piko menggeleng kepala tanda tidak setuju.
Mengapa?
“Andai engkau cuma ada hangat dan panas sepanjang waktu, apa mungkin kau boleh belajar mencintai kesegaran musim bunga? Tidak bukan? Akan tiba suatu hari, kau membenci pula sinar matahari dan mencari serta merindui kedinginan dari Musim Sejuk. “
“Sakit, susah, benci, dan sedih yang hadir itu bersebab. Agar engkau belajar mencintai dan menghargai sekecil-kecil sesuatu perkara. Nah, lihat sahaja kita berdua. Sudah berapa banyak kali kita bergaduh? “sambung Piko.
Err... berjuta zillion?
“Alhamdulillah, masih lagi elok hubungan kita bukan. Bahkan kita semakin erat, kerana kita semakin memahami. Tak kenal maka tak cinta. Kahkahkah “. Piko menamatkan hujahnya dengan dekah ketawa.
Aku menggelamun sejenak. Begitulah juga aku kira untuk dunia. Betapa ramai manusia mengharap agar biarlah hilang segala kesedihan dan duka di dunia. Biarlah yang membalut dunia ini hanya kegembiraan. Namun bagaimana ingin rasa gembira jika rasa sengsara atau duka pun tidak pernah? Kita kenal apakah perilaku yang baik, kerana kita pernah berdepan dengan perilaku yang buruk.
Kita kenal apakah itu perasaan lapar, kerana kita pernah merasai kenyang.
Adakalanya kita membenci, dan dengan ketiadaan rasa benci itu barulah kita tahu inilah perasaan suka.
Inilah hukum alam dan dunia, serta fitrah kita selaku manusia.
Muhasabah
Setiap manusia pasti ada detik-detik pucat seumpama dingin musim sejuk dalam hidupnya. Kehilangan orang tersayang, gagal dalam pelajaran dan sebagainya. Namun janganlah kita lupa bahawa dengan
adanya “musim sejuk” itu dalam kehidupan kita, kita dapat menghargai kehadiran gembira dan kejayaan dalam kehidupan walaupun mungkin kecil. Seumpama hadir musim bunga memberikan harapan kepada pokok-pokok selepas lama berteduh dalam kelesuan musim sejuk.
Wahai hati, janganlah mudah goyah iman di dalam mu. Aku pohon agar iman itu sekuat iman para bunga, kerana mereka meyakini masa mereka untuk riang akan tiba jua, meskipun harapan seolah sudah tidak wujud lagi di dunia. Iman para bunga kekal kukuh walaupun sudah berpuluh tahun usia Musim Bunga dan Musim Sejuk yang telah mereka lalui. Namun janganlah lupa wahai hati untuk mendidik iman itu untuk tidak terlalu alpa. Kerana selepas musim keriangan, tahun cobaan akan pula mendatang. Inilah detik untuk diuji adakah benar dikau menghargai kemudahan dari Tuhan mu. Aku yakin, inilah antara sebab para Sahabat begitu rapat dengan Tuhan, kerana mereka diuji dan diberi nikmat silih berganti. Nikmat yang hadir melahirkan penghargaan, dan ujian yang diberi menguatkan penghargaan tersebut!
“..Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada´...” (Al-Imran; 140)
Epilog
“Woi, mimpi ke? Jom. Kelas pharmaco dah nak mula “, ujar Piko dengan senyum nakalnya. Serta merta aku menamatkan lamunan. Aku membalas senyum Piko dan kami bergerak seiring menuju ke dewan kuliah. Dalam perjalanan aku terlihat sekuntum bunga mekar di tepi.
Agak-agak kalau aku sebuah pokok berapakah umurku?
22 Musim Bunga.
Dan aku menantikan usia 23 Musim Sejuk yang akan datang, in shaa allah. - Mohd Fahmi Maslan