artikel; Harapan Sentiasa Ada


Segalanya nampak mustahil. Matahari telah mula menampakkan dirinya. Dada langit sudah memerah. Aliran darah telah semua dikerah. Kesemuanya berlari dengan penuh kegentaran dan debaran lantaran dikejar..sehinggalah sampailah ke laut merah. Seolah-olahnya itulah penghujung dan tiada lagi jalan keluar. Dua kumpulan telah bertemu dan bertentang mata.

‘Habislah kita, kita memang dah terperangkap. kita pasti ditawan.’ pengikutnya meluahkan, seolahnya tiada lagi harapan.

Tapi saat itu, harapan dan pegangan Nabi Allah Musa ‘Alaihissalam tidak goyah. Seinci pun tidak bergerak. Meskipun, secara logiknya, memang tidak ada jalan keluar! mengapa lagi masih terlalu optimis?

‘ Sesekali Tidak! jangan kalian fikir yang sedemikian akan berlaku! sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolongannya), Dia akan menunjukkan jalan kepadaku’

Satu keyakinan yang lahir dari insan yang terhubung dengan Tuhan. Mana mungkin manusia yang tidak kukuh hubungannya dengan Tuhan seyakin itu.

‘ Pukullah laut itu dengan tongkatmu ’

ya, pada Musa a.s inilah jalan keluarnya.. bayangkan kita berada dalam keadaan yang sedemikian. tongkat dan laut?  meskipun mungkin pada kita, apakah yang mampu dilakukan tongkat tua Nabi Musa itu... tapi ianya bukan sekecil apa benda yang mampu dilakukan, tapi arahan itu daripada siapa, kepada siapa pula pengharapan itu dipanjatkan. .

‘maka, terselamatlah Musa dan pengikutnya.’

Terkadang mahupun kerap kali, kita merasakan segalanya bagai mustahil, harapan seolahnya sirna. Terserahlah ianya urusan apa sekalipun. Daripada sekecil-kecil benda hinggalah sebesar-besarnya. Namun, satu siri episod kisah Nabi Musa ini, mengajarkan kepada kita, sebesar apapun kebuntuan kamu hai manusia, Tuhan itu lebih besar pertolongan dan kekuasaannya. Cuma  sejauh mana kita terhubung dan yakin padaNya? kisah ini dirakamkan buat pedoman kita bukanlah sekadar cerita kisah Nabi yang tersisih dari sisi kita. Tidak, tapi di sana ada pengajaran buat kita. [26 : 60-67]

Nabi dan sahabat juga manusia seperti kita. Tiada siapa mampu menafikan kita juga punya rasa gentar, risau dan sesekali takut. begitu juga pada Abu Bakar As-Siddiq saat menemani kekasih kita Rasulullah. Namun, buat kesekian kalinya, kita diajar, untuk terus berharap padaNya.

Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita’ . Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya….’ [9:40]

Maka terus-terus lah berusaha membina hubungan dan keyakinan pada Dia. Meskipun nanti  saat sulit mendatang, kita mampu tenang. Jangan angkuh dan terlalu bergantung pada diri sendiri mahupun manusia yang persis lemah seperti kita. Ianya seolah-olah bersandar pada tempat yang rapuh. Dan bersyukurlah kerana kita punya Tuhan. Kalau tidak, ke manalah mahu digantung pengharapan seorang hamba?
- Khalilah Alhuda Kamilen.