TRUE LOVE NEVER ENDS: AIDIL ADHA


True Love Never Ends : Aidil Adha

Hari ini, dari jauh memandang berjuta umat Islam berkumpul di Arafah. Sayu. Sebab entah tahu bila rezeki untuk jejak ke sana. Insaf, sebab padang Mahsyar akan jauh lagi sesak. Dari jauh memandang jutaan manusia, menunaikan tawaf, saei dikelilingi oleh bangunan tinggi, hotel mewah, dan infrastruktur yang sangat moden untuk memudahkan umat Islam .




Kota Mekah hari ini bukan kota Mekah yang dahulu pada saat awal awal Hajar ditinggalkan bersama Ismail di pasir kontang tak berpenghuni.  Tak terbayang perasaan Hajar pada saat awal ditinggalkan Ibrahim di sebuah gurun yang benar benar kosong! Hatta setitis air sebagai sumber kehidupan pun tak ditemui.

Saat Ibrahim memulakan langkah meninggalkan Hajar, Hajar bertanya,

“Ya, Ibrahim, kepada siapa engkau tinggalkan kami?”

Ibrahim diam. Sepatah kata darinya mungkin akan membuatkan goyahnya keputusan Ibrahim, sedangkan Allah punya rencana yang lebih hebat untuk mereka. Dan Ibrahim meneruskan langkahnya, dan sekali lagi Hajar bertanya,

“Ya Ibrahim, kepada siapa engkau tinggalkan kami?”

Ibrahim masih lagi diam dan meneruskan langkah.  Diam sejenak Hajar berfikir, atas rasional apakah seorang suami meninggal isteri dan anak kecil yang baru lahir di tanah kontang ini, melainkan hanya satu sebab dan kemudian bertanya lagi,

Apakah ini arahan Allah?”.

“Ya”

dan dengan jawapan itu Ibrahim berlalu tak berpaling lagi.

Sangat ampuh kekuatan yang Hajar letakkan pada dirinya ketika dia menjawab :

“Jika begitu Allah tidak akan sia-siakan kami,
 Allah tidak akan sia-sia kan kami…”

SubhanaAllah. Kalaulah hari ini, antara “relationship goals” yang dibisingkan dunia adalah bersama dengan orang tercinta, untuk punya penerus generasi, untuk travel bersama sama, untuk tua bersama. Kisah Ibrahim, Hajar, dan Ismail, tak keterlaluan untuk dilabel sebagai extreme!  Atas nama cinta, Hajar, masih seorang manusia. Nabi Ibrahim, kita boleh persoalkan, dia Nabi. Tapi untuk Hajar, tidak. Dia masih seorang wanita, seorang ibu, dan seorang isteri.

Mari sejenak kita membaca kisah dari surah as-shafaat, surah yang membincangkan pokok perbahasan, berserah dirilah pada perintah Allah, meski hikmahnya belum difahami 1 .  Mari selami pula perasaan Ibrahim, ketika Allah memilih bait rintihan doanya untuk diungkapkan dalam surah ini, sebagai bukti kerinduan dan keinginan Ibrahim untuk punya anak,

“Ya Tuhanku, kurniakanlah aku seorang anak yang
termasuk dikalangan yang soleh” (37 : 100)

dan jawab Allah :

“Maka kami beri dia kabar gembira dengan
seorang anak yang amat sabar” (37 : 101)

dan Ibrahim terpaksa meninggalkan Ismail di padang pasir bersama Hajar atas satu hikmah yang masih dia sendiri tak temukan, tetapi sedikit pun tidak diragukan perintah Allah.

Dan apa terjadi pada episode seterusnya dalam kisah “Bait Ubudiyyah” ini ?

“Hai anakku, sesungguhnya aku melihat
dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu…” (37: 102)

Sulit untuk Ibrahim, apatah sulit lagi untuk Hajar. Namun jawapan Ismail lebih menakjubkan.

Hai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu,
insyAllah kau akan mendapatiku termasuk orang yang sabr.” (37 ; 102)

Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya membicarakan, aku tidak tahu pada siapa yang aku lebih kagumi, seorang ayah yang sangat menginginkan zuriat, namun diperintahkan untuk menyembelihnya, atau seorang rijal(lelaki) yang ditinggalkan ayahnya, namun saat dia datang, ayah meminta pendapat untuk menyembelihnya? Sedikit pun wajah Ismail tak berubah dengan pertanyaan ini malah dijawab lembut penuh cinta dengan panggilan “Ya Abati…” 2

Pada saat, Ibrahim menerima perintah menyembelih Ismail, mari selami pula, perasaan Hajar. Ismail dibesarkan sebagai anak yang penuh sabar, penuh cinta, tabah dalam sendiri tanpa ayah, tetap taat dan penuh imannya pada Allah, dan lebih menakjubkan Hajar besarkan sendiri dengan kudratnya, kudratnya sebagai seorang wanita yang berlari antara safa dan marwah, bukan sekali, tetapi tujuh kali,  kudratnya sebagainya seorang isteri yang memahami bahawa suaminya bukan miliknya. Apa perasaan Hajar dan Ibrahim bila diminta berkorban sebegitu?

Kisah Ibrahim, Ismail, dan Hajar adalah kisah cinta. Mereka bahagia dengan perjuangan memburu cinta Allah. Mereka bahagia dengan hakikat cukuplah Allah sebagai kekuatan. Mereka bahagia dengan cinta atas nama Allah. Dan mereka merayakan cinta atas nama perngorbanan. 

Maka apa yang telah kau korbankan untuk Allah saat Allah sedikitpun tidak lalai mencukupkan keperluan mu, memenuhi setiap permintaanmu, menjaga dan membesarkan mu hingga tidak pernah kau gigil lapar, tak pernah sekali pun kau perlu merembat tepi jalan, tak pernah sekali pun perlu mengemis cari makan.

True love never ends kan? dan kisah ini akan diulang diulang dan disebut hingga syurga, dan mahu aku tanyakan Hajar sekali lagi, jika diizinkan Allah untuk ke syurga,  “cinta mengambil segalanya darimu ya Hajar?” dan kau buktikan dengan pengorbanan yang tak terbayangkan.

Dan sekali lagi aku ingatkan, cinta sejati tak kan mati, kerana di syurga, kita bertemu Allah. Paksi cinta kita.

Seorang hamba,
Kepada hamba,
Yang tak lama lagi akan bertemu Pencipta.

Reference :

1)     Khawatir Quraniyah tulisan Amru Khalid

2)     Al-Mustafad min Qasyasy al-Quran tulisan Dr. Abdul Karim Zaidan