Mataku terbuka. Luas. Aku yakin itu.
Aku dapat rasakan mataku terbuka.
Tapi kenapa… hanya kegelapan yang menyapa pandangan.
Tiada cahaya. Tiada apa-apa yang dapat dilihat..
Sebuah pintu, di suatu sudut tiba-tiba dikuak perlahan, membenarkan cahaya yang cerah dari luar kamar itu melimpah masuk membaluti setiap objek di dalam bilik itu. Belum cukup untuk membenarkan aku melihat semuanya, tapi cukup untuk membuatkan aku sedar bahawa aku di dalam sebuah kamar, di atas sebuah katil, dengan selimut berwarna putih membaluti tubuhku dari separas pinggang ke bawah dan tanganku pula..
Mataku dibuka lebih luas dan kukerdipkan beberapa kali.
Tanganku digari?
Sebuah sosok masuk ke dalam bilik dan pintu di sudut itu ditutup kembali. Dan suasana kembali…gelap. Aku yakin dan aku pasti ada seseorang di dalam kamar ini bersamaku kini. Aku cuba menarik tanganku, kedengaran gari besi itu berlanggar dengan sisi katil. Bising , sekadar untuk memancing perhatian, tapi hanya untuk seketika. Masih tiada respons. Masih tiada suara.
“Awak sudah sedar?” suara lembut. Ah, suara seorang wanita.
Aku tahu, ada seseorang bersamaku dari tadi!
“Awak sudah sedar?” Soalan itu diajukan semula.
“Ya. Ya aku sudah sedar.” aku menjawab. Bersungguh-sungguh.
“Awak ingat siapa awak?” Wanita itu bertanya lagi.
“Ya.” aku menjawab laju. Tapi kini, bila difkirkan kembali, aku sendiri kurang pasti dengan jawapanku. Aku yakin namaku Muslim tapi mengapa aku seakan tiada memori akan sebab kemasukanku ke hospital ini. Hairan.
“Tapi aku..” Sedikit teragak-agak. “Aku hanya mengingati namaku” Dia menjawab dengan mata yang memandang ke hadapan, cuba menembusi kegelapan dan mencari manusia yang sedang berbicara dengannya. Tapi dalam kegelapan ini, pastinya dia hanya menemui jalan buntu. Seakan berbicara dengan mata tertutup. Tiada bezanya. Tiada bezanya…
Lampu terang tiba-tiba menerangi seluruh kamar. Ahhh!! Cahaya yang menyilaukan. Aku cuba menutup pandanganku dengan tangan, ah, aku digari! Aku lupa itu. Aku hanya mampu memalingkan wajah, dengan dahi yang sedikit berkerut. Aku membuka mataku perlahan dan kukerdipkan kembali beberapa kali. Akhirnya, dapat juga aku lihat dengan jelas.
Seorang wanita, dengan wajah separuh tertutup kerana mengenakan face mask dan tubuh yang dibaluti kot makmal, sedang berdiri di hadapanku. Mungkin seorang doktor. Mungkin sekadar jururawat. Aku tidak tahu. Tapi yang pastinya, mungkin dia tahu mengapa aku di sini dan mengapa aku di gari. Pasti dia tahu. Pasti dia yang akan merawatku.
Mulutku yang kering ini mahu sahaja bertanya tentang semua soalan yang berlegar di ruang mindaku, namun seakan dikunci, aku tidak mampu bersuara. Seakan terpukau dengan kecantikan wanita itu, walaupun hanya suara dan sebahagian mukanya sahaja yang dapat dikesan pancainderaku. Walaupun hanya seketika pertemuannya denganku.
Wanita itu tiba-tiba menghampiri. Tangannya lembut menyentuh tanganku yang digari. Aku mahu menarik tanganku tapi.. ahh.. aku ini manusia bernama lelaki. Peluang sebegini harusnya kubiarkan sahaja. Dan aku ternyata membiarkan sahaja tangan itu mengelus lembut tanganku yang sedang digari. Hayati. Aku hayati panasnya tangan lembut itu menyapa kulitku yang nyata kedinginan.
Tiba-tiba sentuhannya terhenti. Dia mengangkat wajahnya lalu pandangannya yang tajam menikam pandanganku. Keningnya yang indah terukir berkerut seribu. Dia segera menarik tangannya dan menampar wajahku!
Ahh! Berpinar pandanganku.
Terkejut. Terpempan.
Nahhh.. kalau kau berada di tempatku pasti kau juga akan terkejut.
“Apa yang kau cuba lakukan?! ” wanita itu menjerit lantang. Aku bingung. Tidak memahami soalan yang diajukan. “Apa maksudmu?” Aku bertanya. Pipiku masih terasa pijar dengan tamparan tadi. “Kau telah mencabul kehormatanku!” Aku bertambah bingung bila wanita itu mula menangis di hadapanku. Gila. Wanita ini sudah gila. Terang-terang dia yang memulakan langkah pertama, dan aku bersalah kerana menikmati sentuhannya?
Beberapa orang, berpakaian sama seperti wanita tadi, meluru masuk ke dalam kamar itu dek terdengar kekecohan yang berlaku. Ada yang tinggi, ada yang rendah, Ada yang berisi dan ada yang kurus melidi. Semua mereka memakai face mask, jadi aku hanya dapat melihat sebahagian wajah mereka.
Wanita tadi menangis lagi. Meraung lebih kuat. Aku bertambah bingung. Kalau aku tidak digari, akan kucekik sahaja batang leher wanita gila ini. “Aku telah dicabul lelaki ini!” Wanita itu menjerit.
“Tipu! Kau pembohong!” Aku mempertahankan diriku.
“Tidak! Aku tidak menipu. Kau telah menyentuh tubuhku!”Suara wanita itu ditenggelami sendunya.
“Masakan aku yang bergari ini boleh mencabulmu?” aku mengajukan hujahku.
Yang lain berbisik sesama mereka. Kemudian mereka diam mengangguk tanda setuju. Wanita itu merenungku dengan saki baki air mata. Dahinya berkerut
seketika, seolah sedang menimbang tara sesuatu dalam fikirannya. Dia mengesat air mata palsunya.
“Ah, benar juga.” Dia bersuara disusuli tawa kecilnya. “Mana mungkin ini berlaku. Maaf kalian, Ini semua salah faham..” Wanita itu bersuara lembut, bercampur nada menggoda dan memujuk. Yang lain bersurai meninggalkan kamar itu dengan gelengan kecil dan bisikan-bisikan halus sesama mereka.
Aku bertambah bingung. “Kau gila!” Aku bersuara perlahan. Cukup untuk aku dan dia dengari. Dia hanya memandangku dengan pandangan sinis, menghampiriku lalu meletakkan beberapa biji pil berwarna ungu. “Nah! Ini ubatmu, kau harus makan ini jika mahu sihat seperti yang lain” Dia berkata lalu meninggalkan aku di atas katil itu dengan pil-pil ungu di tangan kananku.
Sejurus wanita itu keluar, lampu kembali terpadam. Aku menundukkan wajahku dalam kegelapan itu untuk menyuap pil-pil ungu di tangan kananku. Gila, wanita itu mungkin gila tapi aku perlukan ubat ini untuk sihat, itu katanya.
Mataku terasa berat, dan perlahan-lahan ia kembali terpejam. Aku.. hanyut, untuk entah keberapa kali, ke alam mimpi yang indah sekali. Cukup indah…
“Bangun!” suara seorang anak kecil lembut menyapa telingaku. “Bangun Muslim!” suara itu kembali bergema, mengheret aku kembali ke alam nyata.Aku membuka mataku, dan aku masih di dalam kamar yang sama yang sudah diterangi cahaya.
Seorang anak kecil di sebelahku sedang memandangku dengan pandangan yang tajam. “Mengapa kau lambat bangun, Muslim?” Dia bertanya lagi. “Aku sudah lama cuba mengejutmu.” Dia bersuara dengan nada sedikit kecewa. “Tapi tidak mengapa, aku datang dengan sesuatu yang penting bersamaku” Anak itu petah sekali berbicara denganku, seolah aku ini kenalan rapatnya, tapi aku nyata gagal mengecam wajahnya. Siapa dia?
“Aku datang untuk memberitahumu tentang siapa kamu sebenarnya!” Anak kecil itu bersuara dengan nada separuh berbisik namun masih kedengaran mengujakan. “Kau sebenarnya seorang adiwira!” Anak kecil itu bersuara lagi.
Aku tertawa kecil. Anak ini, besar sungguh imaginasinya. “Aku bukan adiwira. Kau mungkin tersalah orang. Aku hanya manusia biasa. Aku hanya Muslim.” Aku bersuara lembut.
Anak itu menggeleng laju. “Tidak! Kau sebenarnya seorang adiwira. Kau miliki kuasa luar biasa!” Anak itu bersuara sedikit lantang. Dia kemudiannya mengeluarkan sebuah buku besar, kelihatan sedikit kusam, mungkin kerana telah dimamah usia.
“Nah!” Anak itu meletak buku setebal dua inci di sisiku. “Ini catatan tentang siapa kamu dan kuasa yang kau miliki itu dan mengapa kamu di sini!” Aku teragak-agak untuk membuka buku berkulit tebal itu. Benarkah apa yang dikatakannya?
Kalau begitu, pasti soalan-soalan yang terbuku di benakku akan terjawab. Aku mahu membuka buku itu, didorong rasa ingin tahu, tapi egoku sebagai lelaki dewasa menghalangku. Mana mungkin aku percaya pada kata-kata seorang anak kecil!
“Tidak mungkin aku seorang adiwira. Di mana logiknya, seorang adiwira yang memiliki kuasa luar biasa ditahan di dalam hospital ini dan digari?” Aku bertanya kepadanya.
“Kau seorang adiwira! Dan kau salah, ini bukan hospital! Ini adalah penjara bagimu!” Anak kecil itu bersuara.
Aku semakin bingung. Penjara? Penjara apakah yang sebegini selesa?
“Kau sebenarnya sedang mengalami amnesia. Kau lupa siapa dirimu yang sebenar. Kau digari untuk mengelakkan dirimu bebas dari penjara ini. “Anak itu menarik nafas panjang.
“Dan ubatan yang mereka berikan, aku tahu ia manis dan enak sekali, tapi ubatan itu hanya akan membuatmu ketagih dengannya dan ia akan memadam ingatanmu sedikit demi sedikit sehingga kau yakin dengan ilusi yang mereka ciptakan tentang siapa dirimu. Sehingga kau akhirnya menjadi hamba yang bekerja untuk mereka” Anak kecil itu bersungguh-sungguh cuba meyakinkan aku sambil menggenggam tanganku. Anak sekecil ini, berbicara kepadaku dengan keyakinan dan dengan bahasa yang tinggi. Dia bukan anak biasa, bisik hatiku.
Bunyi derapan kaki mengejutkan kami berdua. Pintu bilik itu dikuak tiba-tiba dan dihadapanku, muncul wanita gila beserta konco-konconya.
“Kau, anak kecil, apa yang kau buat di sini?! ” Wanita gila itu menjerit.
“Namaku Tarbiyyah dan aku disini untuk menyampaikan kebenaran!” Anak kecil itu bersuara lantang, sedikit melawan.
“Tempatmu bukan di sini. Ini kamar pesakit, kau mesti keluar!” Wanita itu bersuara tegas.
“Ini bukan kamar pesakit! Ini adalah penjara dan kau cuba untuk membunuh ingatannya!” Anak itu bersuara.
Wanita gila itu menampar anak kecil yang lantang bersuara hingga dia tersungkur. “Diam!” Wanita gila itu menjerit! Darah mengalir dari hujung bibir anak kecil itu.
“Berhenti! Kau sedang menyakitinya!” Aku tidak dapat menerima keadaan ini. Masakan dia boleh menyakiti anak sekecil itu.
Anak kecil itu bangun semula. “Aku tidak akan diam. Dia harus tahu siapa dia sebenarnya!” anak kecil itu bersuara lagi. Wanita gila itu menamparnya lagi hingga dia tersungkur .
Ahhh!! Kegilaan apakah ini. Aku cuba melepaskan diriku dari gari di tanganku.
“Diam! Aku suruh kau diam!” Face mask di wajah wanita itu tertanggal kerana dia begitu kerap menjerit. Dan wajahnya yang sebenar, memeranjatkan aku.
Mulutnya herot, dengan lidah bercabang seperti reptilia. Di sisi mulutnya ada nanah dan darah yang bercampur di bawah kulit nipis yang menunggu masa untuk koyak dan memuntahkan isinya yang memualkan.
Aku memalingkan wajahku. Ngeri. Aku terlalu ngeri. Mengingatkan semula adegan mesranya denganku, aku terasa mual dan jijik dengan diriku dan dirinya.
“Heret dia keluar dari ini. Koyakkan mulutnya agar dia tidak bisa bersuara selantang ini lagi. Tikam lehernya supaya dia tidak boleh berbisik sekalipun. Kau tetak kedua kakinya, dia tidak mungkin dapat kembali ke kamar ini dan mengganggu pesakitku.” Wanita itu memberi arahan kepada konco-konconya.
“Kau ingat apa yang ku katakan? Buka buku di sisimu itu, kau akan menemui jawapan!” Suara anak kecil itu semakin tenggelam lalu hilang seperti hilangnya dia dan konco-konco wanita itu dari kamar, meninggalkan aku dengannya bersendirian di dalam kamar.
Wanita itu berpaling kepadaku. Seakan baru tersedar face mask-nya sudah tertanggal, dia segera mengutipnya semula dari lantai lalu dikenakan semula di wajahnya. Namun aku sudah melihat segalanya. Mana mungkin aku boleh lupa dengan wajah sebenar di bawah topeng muka itu.
Wanita itu menghampiriku. Aku menjadi tidak senang.
“Awak sudah sedar?” Dia bertanya dengan suara yang lembut. Tapi aku takkan tertipu lagi dengan kelembutan itu.
“Ya, aku sudah sedar. Anak kecil itu mengejutkan aku dari tidurku tadi” Aku menjawab. Dia kelihatan tidak senang.
“Awak ingat siapa awak?” Wanita itu bertanya lagi, soalan yang sama seperti sebelum lenaku.
“Aku Muslim. Aku manusia biasa” Aku bersuara. Mataku jatuh pada buku setebal dua inci di sisiku. Atau adakah aku benar-benar seorang adiwira?
Wanita itu mengeluarkan sebotol pil berwarna ungu dari poket kiri kot makmalnya. “Ini ubat yang kau harus makan hari ini” wanita itu meletakkan beberapa pil ke dalam genggaman tangan kananku. “Dan buku ini?” wanita tu bertanya.
“Ini buku aku” Aku menjawab sambil mengeratkan genggaman tangan kiriku pada buku itu. “Kau perlu berehat..” wanita itu berkata. “Buku ini biar aku simpankan dahulu.” Dia melepaskan buku itu dari genggamanku dan meletakkannya ke tepi.
“Makanlah segera ubat itu.” Wanita itu bersuara lagi. Aku menundukkan wajahku untuk membenarkan aku menelan pil-pil manis dari botol itu dek tanganku yang digari.
“Oh, aku terlupa memperkenalkan diriku.” Wanita itu berkata setelah aku menelan pil-pil yang diberikannya. Mataku semakin berat, namun telingaku masih dapat mendengar ayatnya yang selanjutnya.
“Namaku Dunia.” Kata wanita itu dengan suara yang lembut. “Tidurlah dan teruskan bermimpi” Dia berkata lagi dengan nada yang menggoda.
Fatimah Zahra Zulqarnain.