Saban tahun
kita menyaksikan komuniti merentas sempadan geografi dan demografi sentiasa
giat melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan negara tidak ketandusan
pemimpin masa hadapan. Pelbagai program, kursus dan seminar dijalankan dengan
tujuan mempersiapkan golongan muda menjadi seorang yang berpengetahuan dan
berkebolehan sebagai pemimpin. Tetapi hakikat yang sering dilupakan ialah untuk
mengingatkan bakal-bakal pemimpin ini perkara asas yang seharusnya mereka sedar
(baca: aware) dek kerana penganjur inisiatif-inisiatif tersebut terlalu
memfokuskan latihan yang begitu hebat. Akhirnya kita menyaksikan wujud
lompong-lompong sifat pada pemimpin yang lahir tersebut kerana realitinya,
mereka tidak pun dipersiapkan untuk menjadi ‘leader’, tetapi hanyalah untuk
menjadi ‘manager’.
Cabaran menjadi lebih besar
apabila pemimpin-pemimpin ini membawa diri mereka ke ruang kerja aktivisma, yang
mana mereka tidaklah seperti pemimpin korporat atau politik moden yang dibayar
gaji dan mengarah orang bawahan yang digaji, tetapi mereka bekerja atas dasar
kesukarelaan atau pertanggungjawaban. Orang bawahan mereka pula hanya bekerja
atas kapasiti ‘membantu’ ketua sahaja. Maka dalam konteks ini jika mereka gagal
menggerakkan orang bawahan untuk bekerja, pasti pemimpin ini akan merasa
terbeban melakukan segalanya sendirian, atau lebih teruk, mereka langsung gagal
melaksanakan tanggungjawab yang tergalas.
Itu cerita golongan yang
dilatih. Bagaimana pula ceritanya jika golongan yang tak dilatih, lalu menjadi
bidan terjun dalam organisasi-organisasi yang melibatkan kepentingan ramai?
“Common sense” mungkin sahaja dapat membantu, tetapi akhirnya mereka mungkin
terpaksa belajar dengan pengalaman menerusi “the hard way” atau jalan yang
sukar tanpa ilmu teori. Namun fokus saya bukanlah pada baik atau tidak program
tersebut, tidak juga pada patut atau tidak aktivis sebegini diberi imbuhan dan
sebagainya. Mungkin sahaja pemimpin-pemimpin ini mampu mengatasi
cabaran-cabaran tersebut, hanyasanya mereka tidak diperingatkan tentang
perkara-perkara kecil yang perlu diberi perhatian yang mana telah menggagalkan
kerja-kerja mereka.
Sebagai remaja yang memerhati,
saya sedar setiap anak muda terutamanya yang bergelar ‘pemimpin tidak berbayar’
ini perlu diperingatkan akan perkara kecil ini. Perkara-perkara ini ibarat
bebanan yang tidaklah seberat mana, tetapi apabila dibawa badan merentasi jarak
yang jauh, ia turut memberi kesan yang besar kepada diri si pembawa. Kesedaran
akan wujudnya perkara ini sebagai suatu ‘ancaman dalam kepimpinan’ akan
membuatkan kita lebih bersedia mengatasinya sepanjang masa. Inilah yang perlu
diberi perhatian oleh mereka tatkala menghadapi masalah dalam kepimpinan.
Apa masalah
mereka?
Antara
Nafsi dan Organisasi
Ini
kebiasaannya menjadi dilema pertama dan paling utama bagi pemimpin percuma ini.
Mereka sedar mereka perlu sedia berkorban kerana segala yang dilakukan bukanlah
untuk kepentingan sendiri. Kadangkala ini turut menjadi pertaruhan kerana
bila-bila masa sahaja mereka tidak teragak-agak untuk menggadaikan segala janji
dan tanggungjawab untuk menyelesaikan urusan peribadi yang tertangguh.
Akhirnya, bukan sahaja kerja tergendala, reputasi mereka turut terjejas.
Keliru antara niat
sebenar bekerja menjadi punca tekanan seharian.
Kerjasama
Yang Tidak Berbalas
Dalam banyak perkara, ada sahaja
ragam dan rajuk orang bawahan yang terpaksa diterima, jika tidak mahu
bertengkar atau beralah. Rakan mudah sahaja menasihatkan pemimpin ini untuk
bersabar atas anggapan bahawa perkara ketidaksefahaman dan sikap tidak
bekerjasama ini sesuatu yang ‘biasa’ berlaku. Tetapi harus diingat, jika sesuatu
perkara itu biasa, tidak bermakna ia patut atau mesti terjadi. Sebelum disalahkan
norma, penting untuk menyalahkan diri sendiri dahulu. Semestinya kerjasama tidak
berbalas ini berpunca daripada hilangnya rasa hormat orang bawahan terhadap
pemimpin mereka kerana jika benar mereka menghormati pemimpin mereka, pastinya
ketidaksefahaman atau percanggahan pendapat yang teruk pun tidak akan membawa
kepada emosi.
Mahu
Penghargaan Tanpa Mengharap Mahupun Meminta
Setelah penat melakukan kerja
rutin atau selesai program-program di kampus dan sebagainya, pemimpin-pemimpin
ini diasak pula dengan kerja rumah dan komitmen lain. Pengalaman saya bertanyakan
kepada beberapa rakan yang menjadi pemimpin ini, kesemuanya bersetuju ada
kalanya mereka tidak akan lari daripada mengharapkan sebuah penghargaan
ditunjukkan oleh rakan-rakan sekeliling yang dipimpin. Tidak kira ia dalam
bentuk sumbangan material, pertolongan meringankan beban ataupun sokongan
moral. Wajar atau tidak bukanlah isunya, itulah fitrah bagi manusia yang telah
berkorban, sekurang-kurangnya biarlah ada sekelumit penghargaan untuk mengubat
lelah bekerja. Jika ini berlaku, jelas bagi kita bahawa orang sekeliling tidak
mahu menghargai kerana mereka tidak menyukai pemimpin mereka dan menganggap
bahawa sememangnya segala kerja mereka itu ‘tanggungan’ mereka sendiri.
Jika anda berada dalam kalangan pemimpin
ini, maka ada beberapa tindakan mudah yang boleh anda beri perhatian untuk
memperbaik keadaan:
Bina
Pengaruh Setiap Waktu
Mungkin sahaja bunyinya seperti
sukar dan kompleks untuk diterjemah kepada tindakan. Tetapi realitinya cukup
mudah. Membina lingkungan pengaruh bagi diri sendiri bukanlah terikat kepada
mengadakan majlis besar untuk orang bawahan, memberi ucapan atau sumbangan wang
ringgit sahaja. Senaraikan setiap aktiviti harian anda bersama rakan-rakan,
itulah masa anda untuk membina pengaruh. Fokus utama yang perlu diberi
perhatian ialah untuk memastikan setiap urusan anda itu sentiasa memberi impak
positif kepada imej diri anda, atau setidaknya tidak memburukkan pandangan
orang sekeliling terhadap anda. Apa sahaja perkara baik yang berulang-ulang
akan membentuk persepsi positif. Jadi sentiasa fikirkan tindakan terbaik untuk
diambil agar kepentingan kepimpinan anda tidak tergadai hanya kerana perkara
yang remeh dan leceh.
Lupakan
Perkara Kecil, Misi Pemimpin Jauh Lebih Besar
Analogi untuk menjelaskan
perihal ini dengan lebih mudah, bayangkan anda bergaduh dengan rakan anda yang
merupakan seorang pakar pengurusan program hanya untuk seketul ayam kenduri.
Rakan anda itu merupakan aset yang besar dalam bidang kerja anda tetapi insiden
perebutan tersebut menyebabkan kerja anda tergendala. Sering sahaja perkara ini
berlaku kepada pemimpin yang kurang sensitif dengan keadaan sekeliling. Betapa
ruginya pemimpin yang berwawasan hebat tetapi akhirnya tidak tercapai
wawasannya akibat kepentingan diri yang remeh. Dalam hal ini seorang pemimpin
perlu mengajar diri sendiri untuk bersabar tatkala perkara yang merugikan diri dan
‘memenangkan’ orang lain berlaku, kerana boleh sahaja ia tidak merugikan,
tetapi menjadi suatu ‘pelaburan’ untuk reputasi yang lebih baik di mata umum
dan di masa hadapan, orang sekeliling anda pasti akan mengalah pula kepada
anda.
Menonjol,
Bukan Menunjuk
Hal ini juga suatu yang perlu
diambil serius. Pemimpin itu tidaklah sepanjang masa bersuara atau bertindak.
Setiap tindakan itu biarlah kena pada tempat dan masanya. Kebiasaannya
kepimpinan sejati dilihat berdasarkan perwatakan seseorang dalam menyelesaikan
masalah sehari-hari dalam kelompoknya sendiri. Sifat ‘dominan’ mungkin
menampakkan kita memainkan peranan, tetapi akhirnya jika masalah tidak selesai,
impak negatifnya pasti diletakkan pada kita. Maka tonjolkanlah diri dalam
keadaan berperancangan, bukan semberono sahaja. Kepimpinan seringkali dikaitkan
dengan kebolehan pemimpin mengajak kumpulan menyelesaikan masalah bersama,
bukan semata-mata berseorangan menjadi hero; dialah yang beri idea, dia
mengiyakan, dia juga yang bekerja (Myatt, 2013) .
Jika itu yang terjadi, usaha anda mungkin akan disia-siakan akhirnya.
Berpendirian,
Sendirian
Dalam komuniti anda mungkin
sahaja pelbagai perkara kontroversi sering berlaku. Sesetengahnya berkaitan
dengan politik, pegangan agama dan sebagainya. Tidak salah anda menyatakan
pendapat dalam satu-satu perkara, tetapi pastikan mengikut keperluan. Jika anda
berjaya menerapkan nilai menghormati pendapat dalam kalangan rakan-rakan,
pastinya itu tidak menjadi masalah. Tetapi jika norma masyarakat sekeliling
anda bukanlah sebegitu, baik sahaja bersikap neutral dan tidak taksub menyatakan
pendapat yang menyebelahi mana-mana pihak, kerana boleh sahaja isu peribadi ini
dibawa ke dalam kerja dan menambahkan masalah sedia ada.
Senyum
dan Berlapang Dada
Jika perlu untuk saya pilih
perkara mana yang perlu didahulukan, pastinya perkara inilah yang paing utama.
Bukan mudah untuk berlapang dada dengan sikap orang sekeliling. Pemimpin yang
seringkali berurusan dengan pelbagai ragam manusia perlu sentiasa professional.
Tanamkan pemikiran dalam minda bahawa apa jua masalah yang timbul tidak akan
selesai dengan kemarahan atau emosi, hanya minda yang tenang dan rasional akan
lebih membantu. Emosi itu bahkan akan lebih menerukkan keadaan, apatah lagi
jika orang bawahan yang dimarahi itu seorang yang sensitif dan mudah tersentuh,
pastinya moral kerja mereka akan menurun (McCreadie, 2008) .
Kalau semua ini dah dibuat, tetapi masalah
tetap timbul, apa lagi yang tidak kena?
Tidak semestinya apa yang
tertulis di atas merupakan penyelesaian mutlak bagi permasalahan anda. Jika
anda buntu untuk mencari penyelesaian yang lebih baik, saranan saya ialah itu
mungkin masalah hati yang bermasalah dengan Allah, yang tidak merasa senang
biarpun hubungan dengan manusia terjaga elok. Atau mungkin sahaja itu cubaan
untuk melatih kita menjadi lebih sabar sebagai seorang manusia.
Naqiyuddin Misran
*Segala isi kandungan hanyalah
pendapat penulis semata-mata, tiada kena-mengena dengan yang hidup atau yang
mati. Sebarang penyoalan, pandangan atau nasihat boleh dipanjangkan kepada
penulis di pautan elektronik berikut: naqiyuddin_ksah@yahoo.com/ FB: Naqiyuddin Misran
Rujukan
- McCreadie, K. (2008). Sun Tzu's The Art Of War: A 52 Brilliant Ideas Interpretation. Oxford: MPH Group Publishing.
- Myatt, M. (2013, October 31). The #1 Problem Every Leader Has But Isn't Aware Of. Retrieved from Forbes: http://www.forbes.com/sites/mikemyatt/2013/10/31/the-1-problem-every-leader-has-but-isnt-aware-of/