Artikel; Erti Berpendidikan


Apa maksud berpendidikan? Seringkali kita menemui perkataan ini dalam sebuah bibliografi yang menerangkan tentang latar belakang seorang penulis. Sebagai contoh, penulis X berpendidikan dalam bidang ijazah sarjana muda perubatan dari universiti Z. Saya terfikir, adakah perkataan berpendidikan hanya sekadar membawa maksud diploma apa, ijazah apa, master apa atau phd apa yang dimiliki oleh seseorang itu? 

Ada juga situasi dimana, sebahagian dari kita membeza-bezakan layanan kepada insan lain dek kerana perbezaan tahap pendidikannya. Andainya ada seorang nenek yang ingin mengadakan kenduri, kalau ada cucu yang sekadar lepasan SPM, disuruh buat kerja itu kerja ini. Kalau ada cucu yang berjaya memperoleh ijazah, tidak suruh dibuat kerja kerana dia punya ijazah. Situasi ini bukan sekadar babak-babak dalam drama bersiri, tetapi berlaku juga dalam alam realiti. 

Sejak kita kecil, betapa ibu bapa kita amat menitikberatkan aspek pendidikan formal untuk kita. Menghantar kita ke sekolah, menyediakan buku-buku tambahan, mengeluarkan wang belanja yang banyak untuk memastikan kita dapat belajar dengan baik. Namun begitu, ada sesetengah ibu bapa, yang terlupa akan didikan jiwa kepada anak-anak. Lalu lahirlah anak-anak yang tidak seimbang pendidikannya, berjaya dalam bidang akademik, tetapi gagal dalam aspek pembangunan sahsiah diri. 

Oleh yang demikian, dalam perenggan keempat ini, saya mendefinisikan sendiri maksud pendidikan. Pendidikan adalah ilmu, sikap ataupun kemahiran yang diajarkan kepada seseorang itu secara langsung atau tidak langsung DAN seseorang yang memperolehnya mampu mengamalkannya dan mengajarkan pula kepada orang lain. Jelaslah di sini, maksud pendidikan itu bukanlah bersandarkan berapa banyak keping kertas diplomanya, ijazahnya, masternya, ataupun PHD-nya. 

Apa yang membuatkan saya menulis artikel ini berikutan perbualan ringkas dengan seorang pakcik pemandu teksi. Pada masa itu, saya dan sahabat saya dalam perjalanan dari rumah ke Brookfield. Sahabat saya memberitahu pakcik tersebut bahawa kami ingin mendengar sebuah ceramah di Brookfield. Lalu pesan dari pakcik tersebut, katanya jangan takut untuk bertanyakan soalan. Saya sekadar tersenyum di dalam hati sebab kebiasaannya memang pelajar Melayu jarang yang amat ingin bertanya. 

Nasihat dari pakcik itu ringkas, "Don't be afraid to ask questions,". Saya menganalisa situasi itu. Pakcik itu cuma bekerja sebagai pemandu teksi, tetapi mampu mengajarkan sesuatu kepada penumpangnya. Barangkali saya wajib membuang perkataan 'cuma' dalam ayat itu seakan berbau merendahkan status pekerjaan pakcik tersebut. Sengaja saya bangkitkan isu pekerjaan di sini, kerana dalam masyarakat kita di Malaysia, kita selalu membezakan darjat seseorang berdasarkan status pekerjaan mereka. Walhal, setiap pekerjaan itu ada manfaatnya tersendiri. Bayangkan jika tiada buruh binaan, maka siapa yang mahu berada di bawah terik mentari untuk membina bangunan? 

Kalau pekerjaannya gajinya banyak, masyarakat mengkategorikan ia sebagai pekerjaan yang bagus dan orangnya bagus. Kalau pekerjaannya gajinya sikit, masyarakat mengkategorikan ia sebagai pekerjaan yang kurang bagus. Kadang-kadang kita ada rasa bahawa kita mahu pekerjaan yang gajinya banyak agar mendapat penghormatan dan penghargaan dari masyarakat. 

Setiap pekerjaan, selagi tidak melanggar batas syarak, mempunyai peluang-peluang tersendiri untuk mendidik insan-insan disekelilingnya. Tambah lagi, agama mengajar kita untuk mengajak kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran dari berlaku. Seperti pemandu teksi tadi, dia boleh mendidik penumpangnya meskipun dengan perbualan yang ringkas. Doktor pula boleh mendidik rohani pesakitnya, bukan sahaja merawat sakit fizikal. Perbuatan berakhlak mulia secara tidak langsung juga dapat mendidik jiwa insan berhampiran dengan kita. 

Kesimpulannya, pendidikan itu skopnya luas. Jangan terlalu kejarkan pencapaian dalam pendidikan formal sehingga tercicir untuk mendidik peribadi sendiri. Sesungguhnya manusia yang berguna itu adalah manusia yang mampu mendidik jiwa-jiwa orang lain ke arah kebaikan. Akhir kalam, setiap dari kita adalah pendidik kepada insan sekeliling. Persoalannya, mahu menjadi pendidik ke arah kebaikan ataupun keburukan? Sama-sama renungkan. 

Norain Ishak