Kehidupan kita sememangnya tidak akan pernah lari dari ujian, dugaan, cabaran atau apa sahaja terma yang membawa kepada sistem pemikiran kita bahawanya ianya adalah satu masalah.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al Baqarah ayat 214,
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”
Jika kita melihat kembali cabaran-cabaran yang kita hadapi sebagai seorang pelajar, bermula dengan peperiksaan besar seperti UPSR, kemudian PMR, seterusnya SPM, seterusnya ke peringkat matrikulasi, A-Level, IB dan sekarang ni menuju usaha menggapai segulung Ijazah. Di sini jelas menunjukkan bahawa dalam perspektif seorang pelajar, ujian itu sentiasa akan ada menemui kita. Sudah mendapat ijazah sendiri, sudah tentu ada pula ujian dalam alam pekerjaan. Makanya, sedarilah hakikat bahawa kita dan ujian tidak dapat dipisahkan.
Percaya atau tidak, cabaran yang mendatang dalam kehidupan kita sebagai pelajar berjaya kita lalui. Kita mampu mengharungi peperiksaan-peperiksaan besar dengan jayanya tanpa mengira apa sahaja keputusan peperiksaan itu. Asalkan tidak sampai tahap menjadi kurang waras akibat tekanan peperiksaan, maka kita dikira berjaya dari aspek emosi. Oleh yang demikian, selalu sahaja penulis menggunakan cara fikir begini dalam menghadapi ujian sebagai pelajar perubatan, bahawa kita akan dapat juga melalui saat-saat sukar ini dan percaya saat-saat sukar ini akan berlalu jua! Percayalah!
Setiap permasalahan yang menimpa, haruslah dicari solusinya. Namun begitu, untuk kekal istiqamah dalam mencari solusi kepada sesuatu dugaan itu, kita memerlukan pemahaman asas yakni, mengapa Tuhan memberi kita akan cabaran ini? Mengapa? Penting untuk kita menyedari hal ini kerana ramai insan yang mudah berputus asa dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan lalu cuba lari dari masalah dan akhirnya masalah itu menimbulkan masalah yang seterusnya.
Sebagai insan yang menyedari bahawa Tuhan adalah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana, kita perlu percaya bahawa ujian yang diberikan Tuhan adalah bertujuan untuk membawa kita kembali
mengingati Tuhan yang telah menciptakan kita. Seringkali kita terlupa untuk bersyukur dan lalai dengan nikmat duniawi, lalu Tuhan menimpakn ujian ke atas kita, agar kita kembali sedar bahawa kita punya Tuhan untuk disembah sepenuh jiwa. Ujian juga bertujuan untuk menjadikan kita insan yang lebih berkualiti dalam kehidupan. Sebagaimana seorang pelajar tahun akhir perubatan yang melalu pelbagai jenis peperiksaan untuk melayakkanya menjadi seorang doktor yang bertauliah, begitu jualah ujian yang Tuhan berikan, agar diri kita menjadi lebih baik dari semalam.
Menyedari hakikat ini, kita akan lebih bersemangat dalam mencari jalan menyelesaikan sesuatu kemelut kehidupan. Andai kita berasa lemah, pemahaman asas akan mengapa ujian ini diberikan kepada kita, kita akan kembali bangkit.
Dalam mencari solusi, perlu ditanamkan dalam jiwa kita akan sifat tenang. Keputusan yang dibuat secara terburu-buru hanya akan membuatkan masalah menjadi bertambah rumit. Sebagai contoh, pada suatu petang Ali ketinggalan bas menuju ke Letterkenny, tapi kerana bersifat terburu-buru dan tanpa berfikir lanjut, dia tanpa bertanya kepada orang yang lebih arif, telah menaiki bas yang menuju ke arah Belfast. Menyesali kesilapannya yang sudah terlambat, kini dia berada di Belfast jam 12 malam yang sunyi, tanpa ada kenalan di Belfast, makanya Ali telah mencipta satu masalah lain yakni tiada tempat bermalam.
Kita juga perlu sedar bahawa kita bukanlah insan “I-Know-Everything”. Makanya, carilah insan yang lebih bijaksana atau mahir dari kita untuk memberi pendapat. Rujuklah kepada insan yang tepat dan berpengalaman dalam sesuatu aspek itu. Kadangkala, meskipun pendapat itu tidak begitu membantu, tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi “calming effect” kepada diri kita sendiri.
Dalam sebuah dimensi lain, apabila kita menyedari ada dalam kalangan sahabat kita yang mempunyai masalah, apakah yang patut kita lakukan? Andai reaksi kita ialah, “ada aku kesah?”, maka ternyata kita bukanlah sahabat yang baik dan sesungguhnya sahabat kita itu rugi memiliki kita sebagai sahabatnya.
Ada situasi di mana sahabat kita itu tidak menyedari bahawa dirinya bermasalah, maka di sini kita memikul tanggungjawab besar untuk menyedarkan dia dengan cara yang paling berhikmah bahawa, “wahai teman, sesungguhnya engkau mempunyai masalah, dan aku ada sisi untuk membantu engkau,”. Oleh yang demikian, berbincanglah dengan sahabat dengan cara efektif. Tuliskan di atas kertas kosong, apakah masalah-masalah tersebut dan berfikir atau ‘brainstorming’ bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sesungguhnya inilah pengorbanan yang besar bagi seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain, moga-moga Tuhan merahmati persahabatan sedemikian.
Namun begitu, andai kita sekadar memperkatakan sesuatu permasalahan yang dihadapi sahabat tanpa cuba tampil memberi solusi, maka kita ini diibaratkan seperti seorang doktor yang tahu pesakitnya mempunyai penyakit, tapi hanya bersembang mengenai penyakit itu tanpa ada usaha untuk merawat penyakit yang dihadapi pesakit. Maka layakkah kita bergelar doktor? Maka layakkah kita bergelar sahabat yang baik?
Akhir kalam, bersabarlah dalam menghadapi sesuatu ujian yang diberikan. Bak kata Ustaz Zahazan semasa PUISI 2013, erti sabar apabila ditimpa penyakit itu bukan bererti biarlah penyakit ini, tapi berusaha untuk mengubatinya. Maka dalam kesabaran, perlunya ada tindakan. Moga Tuhan sekalian alam memudahkan kita dalam setiap urusan mencari keredhaan-Nya.
Norain Ishak